SARAWAK, JUMAAT, 15 FEBRUARI – RHB Islamic Bank Berhad dan Tabung Baitulmal Sarawak telah mengadakan Majlis Pelancaran Dana Wakaf Al-Bait dan Kempen syuQR Melalui Aplikasi e-Wallet Boost dengan kerjasama Axiata Digital Services Sdn Bhd serta Majlis Agama Islam Sarawak.
Bertempat di Dewan Kompleks Islam, Majlis Pelancaran Dana Wakaf Al-Bait ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datu Haji Abg Mohd Shibli Haji Abg Mohd Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak. Turut hadir bersama adalah Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Services Sdn Bhd, Mohd Khairil Abdullah serta tetamu kehormat yang lain.
Majlis dimulakan dengan kempen syuQR melalui e-wallet Boost, sebuah platform digital yang ditubuhkan oleh Axiata Digital Services Sdn Bhd. Kempen syuQR adalah bertujuan untuk menggalakkan kutipan derma secara digital melalui kod QR, dan menyasarkan penyertaan lebih 1,400 buah masjid di Sarawak. Dana Wakaf Al-Bait juga mempunyai kod QR untuk pendermaan secara digital.
Projek Dana Wakaf Al-Bait merupakan kerjasama di antara RHB Islamic Bank dan Tabung Baitulmal Sarawak di bawah inisiatif MyWakaf. Projek ini bertujuan untuk memperkasakan ummah di Sarawak menerusi pendidikan dengan menyalurkan Dana Wakaf Al-Bait ke sebuah sekolah tahfiz dan sebuah rumah kebajikan yang menempatkan kanak-kanak mualaf dan anak yatim dari kawasan pedalaman Sarawak. Bantuan yang akan diberikan termasuk pembelian sebuah van sebagai pengangkutan serta pelaksanaan kerja naik taraf di kedua-dua buah institusi yang juga didirikan di atas tanah yang telah diwakafkan kepada Tabung Baitulmal Sarawak.
Individu dan institusi yang berminat boleh menyalurkan sumbangan dana bagi projek Dana Wakaf Al-Bait melalui laman web MyWakaf atau aplikasi Boost. Sumbangan secara tunai juga boleh diberikan di kaunter-kaunter Tabung Baitulmal Sarawak.