TERENGGANU, KHAMIS, 7 MAC 2019 – Bank Rakyat menerusi inisiatif zakatnya kini sedang melaksanakan kutipan dana wakaf hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi menanggung kos pembinaan pusat rawatan hemodialisis.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada inisiatif projek myWakaf yang diterajui oleh Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dengan usaha sama dengan enam buah institusi perbankan Islam di negara ini.
Menurut Mohd Zamerey Abdul Razak, Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat, objektif utama projek ini adalah bagi meningkatkankan kutipan dana wakaf melalui saluran perbankan yang inovatif dan efektif.
“Perkhidmatan yang terhad di hospital kerajaan dan pusat hemodialisis swasta sedia ada serta penambahan bilangan pesakit setiap tahun menyebabkan inisiatif ini dilihat sebagai langkah yang sangat relevan. Bank Rakyat berharap menerusi pembangunan projek berimpak tinggi seperti ini dapat dimanfaatkan kepada penduduk setempat selain memupuk budaya membantu dalam kalangan masyarakat”
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Bank untuk memberi balik manfaat kepada masyarakat terutamanya kepada pelanggan setia kami.” ujar Mohd Zamerey yang ditemui dalam sidang media yang diadakan di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu.
Individu dan institusi yang berminat boleh menyumbangkan dana untuk projek wakaf melalui saluran pembayaran JomPAY. Selain itu, pelanggan juga boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454 untuk sebarang maklumat lanjut.