Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menganjurkan Majlis Amal Dana Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis pada 14 Februari 2020 di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur.
Di antara matlamat utama penganjuran majlis amal ini adalah untuk mengumpulkan dana wakaf bagi membiayai kos pembangunan kemudahan dan prasarana pusat dialisis yang berjumlah RM6 juta. Setakat 31 Januari 2020, pihak MAIPs masih memerlukan jumlah sumbangan lebih kurang RM4 juta untuk menjayakan projek pusat dialysis ini.
Untuk makluman, projek Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis ialah satu projek kerjasama dengan rakan strategik bersama di antara MAIPs dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) melalui inisiatif myWakaf.
Pencapaian
Majlis amal ini telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM920,000.00 daripada 52 penyumbang yang terdiri daripada syarikat, badan korporat dan orang persendirian yang menghulurkan sumbangan dalam bentuk wakaf tunai bagi merealisasikan pembinaan Bangunan Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis HTF.