Dalam perundangan Islam, wakaf ialah mengkhususkan sesuatu aset (mawquf) oleh pewakaf (waqif) untuk diuruskan oleh pengurus wakaf (mutawalli) melalui suatu dokumen undang-undang (waqfiyyah) bahawa pendapatan atau manfaat aset tersebut memberi faedah kepada penerima wakaf (mawquf alaih) atau digunakan untuk tujuan yang dinyatakan.
Wakaf seakan sama dengan dengan endowmen, amanah atau yayasan kecuali ianya mestilah mematuhi peraturan-peraturan dan prinsip-prinsip Shariah. Antara perbezaan-perbezaan tersebut ialah:
- Wakaf biasanya bersifat kekal manakala endowmen, amanah dan yayasan boleh terhenti atau mempunyai peruntukan untuk dibubarkan atau ditamatkan.
- Terdapat keadaan yang sangat terhad terhad di mana aset wakaf boleh dikembalikan manakala pengasas kepada endowmen, amanah atau yayasan boleh meletakkan syarat untuk pengembalian harta tersebut.
- Aktiviti wakaf mestilah mematuhi Shariah, manakala bagi endowmen, amanah atau yayasan, syarat tersebut tidak semestinya terpakai.