KUALA LUMPUR – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour yakin inisiatif myWakaf mempunyai potensi besar untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi negara.
Menurut beliau, ia dapat dilakukan dengan memberi lebih tumpuan terhadap pemerkasaan komuniti dan ekonomi serta mekanisme pemantauan yang lebih tersusun.
“Sehubungan itu, saya ingin memuji usaha pihak industri meneruskan penambahbaikan inisiatif myWakaf dengan penyertaan lebih banyak bank-bank Islam dan majlis agama Islam negeri di bawah myWakaf 2.0,” katanya.
Abdul Rasheed berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2023, di sini, hari ini.
Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan inisiatif myWakaf 2.0 yang dilaksanakan BNM menerusi Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).
Inisiatif yang bermula pada 2017 itu bertujuan menyelaraskan pelan tindakan Dana Wakaf antara bank-bank Islam dan majlis agama Islam negeri bagi membangunkan potensi wakaf serta memperkasakan ekonomi ummah di negara ini.
Sementara itu, Abdul Rasheed memberitahu, program iTEKAD yang bermula pada 2020 telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 usahawan mikro dan perniagaan kecil.
Beliau menambah, iTEKAD menyediakan lebih akses kepada pembiayaan dan kemahiran nilai tambah bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan serta daya tahan perniagaan mereka.
“Rangkaian rakan kongsi dalam pelaksanaan program ini telah mencapai lebih 60 entiti,” jelasnya.
Abdul Rasheed berkata, bagi mengekalkan momentum positif itu, adalah penting bagi iTekad terus dipertingkatkan, memanfaatkan teknologi dan mengembangkan rakan kongsi pelaksanaannya.
“Pada masa yang sama, memastikan penyampaian yang berkesan supaya dapat memberi peluang para peserta untuk mengubah kehidupan mereka,” katanya.
iTEKAD merupakan program di bawah konsep payung kewangan yang diperkenalkan oleh BNM untuk membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkasakan pengurusan kewangan dan kepintaran perniagaan ke arah menjana pendapatan yang mampan serta berterusan. – MalaysiaGazette