Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) pada hari ini telah melancarkan portal myWakaf sewaktu majlis pembukaan Karnival Kewangan Terengganu anjuran Bank Negara Malaysia di Pusat Konvensyen Tabung Haji, Kuala Terengganu. Pelancaran portal www.mywakaf.com.my yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu turut disaksikan Encik Abu Hassan Alshari Yahaya dan Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.
Inisiatif myWakaf ini merupakan sebuah usaha sama antara enam ahli bank AIBIM iaitu Affin Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad bersama Majlis Agama Islam Negeri. MyWakaf ini juga merupakan salah satu inisiatif bagi industri perbankan Islam dalam menyediakan pengantaraan berasaskan nilai yang mampu memberi impak positif kepada ekonomi dan komuniti setempat.
Melalui portal myWakaf, setiap individu berpeluang membuat sumbangan wakaf kepada projek-projek pembangunan yang telah dikenalpasti secara lebih mudah, ringkas dan efektif. Antara lain, portal ini dapat meluaskan lagi rangkaian penyumbang diseluruh Malaysia dan juga di peringkat global.
Pengerusi myWakaf, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid dalam ucapannya selepas majlis pelancaran tersebut turut menggalakkan orang ramai untuk menyumbang sambil beramal melalui portal myWakaf. “Dengan adanya kemudahan portal ini, orang ramai dapat membantu kepada pembangunan projek dana wakaf dengan lebih mudah dan selamat” ujarnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Projek-projek pembangunan dibawah inisiatif myWakaf ini menjurus kepada sektor pendidikan, kesihatan, pelaburan dan pemerkasaan ekonomi. Sehingga kini, terdapat enam buah projek pembangunan telah dikenalpasti di enam buah negeri di Malaysia. Para pengunjung Karnival Kewangan Terengganu boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai myWakaf di ruang pameran AIBIM sepanjang karnival berlangsung bermula hari ini hingga 6 April 2019.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi AIBIM di 03-20268002/3.
Tentang AIBIM
Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) telah ditubuhkan pada tahun 1996. Pada masa ini, AIBIM mempunyai keahlian seramai 27 bank anggota. Organisasi ini menggalakkan sistem perbankan Islam yang kukuh di Malaysia; mewakili kepentingan ahli di dalam dan di luar negara; memberikan nasihat dan bantuan kepada para ahli dalam pembangunan perbankan dan kewangan Islam di peringkat tempatan, serantau dan global; menyelaras inisiatif pembangunan modal insan, serta meningkatkan kesedaran awam.
Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Ratna Sha’erah Kamaludin
Pengarah, AIBIM
Email: ratna@aibim.com
Tel: +603-2026802/8003