Inisiatif dana wakaf yang dipelopori oleh enam institusi perbankan Islam telah mendapat perhatian lebih 900 ahli profesional dan pakar di dalam bidang kewangan Islam dari dalam dan luar negara yang menghadiri acara tahunan Kuala Lumpur Islamic Finance Forum (KLIFF) kali ke 14 yang berlangsung di Hotel Istana Kuala Lumpur hari ini.
Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi Kumpulan Amanie Advisors, di dalam satu sesi ‘Islamic Finance Smart Talk’ yang membincangkan halatuju dan perkembangan kewangan Islam di Malaysia, menyuarakan pendapat bahawa usahasama di antara institusi-institusi perbankan Islam dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri merupakan satu langkah positif dalam meningkatkan taraf sosioekonomi khususnya bagi umat Islam di Malaysia.
Pada 6 September 2017, enam (6) buah institusi perbankan Islam telah memeterai Perjanjian Usahasama Strategik Dana Wakaf sebagai satu usaha kolektif bagi menyediakan platfom bagi tujuan pengutipan dana wakaf daripada penyumbang melalui saluran-saluran sedia ada. Kolaborasi ini juga bakal melibatkan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri yang merupakan pihak yang bertanggungjawab terhadap pembangunan projek-projek wakaf di Malaysia. Dana wakaf terkumpul akan diagihkan kepada projek-projek yang menjurus kepada sektor kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi.
Kerjasama strategik di antara Affin Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad ini juga merupakan salah satu inisiatif bagi industri perbankan Islam dalam menyediakan pengantaraan berasaskan nilai yang memberi impak positif kepada ekonomi dan komuniti.
Kuala Lumpur Islamic Finance Forum (KLIFF) kali ke 14 ini telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah Al-Maghfur-Lah, Sultan Perak Darul Ridzuan yang merupakan Penaung Di Raja Inisiatif Kewangan Islam di Malaysia. Di acara ini juga, salah satu projek dana wakaf iaitu Klinik Bergerak Wakaf Selangor Muamalat menjadi tarikan kepada pengunjung acara serta orang awam yang mendapat manfaat perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma di klinik tersebut.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi AIBIM di 03-20268002/3.
- TAMAT –
Tentang AIBIM
Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) telah ditubuhkan pada tahun 1996. Pada masa ini, AIBIM mempunyai keahlian seramai 27 bank anggota. Organisasi ini menggalakkan sistem perbankan Islam yang kukuh di Malaysia; mewakili kepentingan ahli di dalam dan di luar negara; memberikan nasihat dan bantuan kepada para ahli dalam pembangunan perbankan dan kewangan Islam di peringkat tempatan, serantau dan global; menyelaras inisiatif pembangunan modal insan, serta meningkatkan kesedaran awam.
Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Ratna Sha’erah Kamaludin
Pengarah, AIBIM
Email: ratna@aibim.com
Tel: +603-2026802/8003